KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mempertahankan dirinya dengan menyatakan beliau tidak hilang setahun seperti didakwa, sebaliknya kurang aktif selepas isu korporat mafia yang dibangkitkan dalam PKR tidak diendahkan.

Beliau yang mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya semalam menyatakan kenyataan yang mendakwa beliau 'lebih setahun hilang' daripada urusan parti adalah tidak tepat.

Katanya, dakwaan itu adalah cubaan mengalihkan perhatian daripada punca sebenar keadaan.

"Kenyataan saya 'lebih setahun hilang' daripada urusan parti adalah tidak tepat. Ia mengalihkan perhatian daripada punca sebenar keadaan ini.

"Saya tidak menjauhkan diri tanpa sebab. Saya mula kurang aktif selepas isu korporat mafia yang dibangkitkan melalui saluran dalaman tidak diendahkan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.