KUANTAN: Seorang lelaki berusia 19 tahun menghubungi polis melalui talian kecemasan MERS 999 selepas berlaku pergaduhan dengan teman wanitanya sehingga membawa kepada kematian mangsa di sebuah rumah sewa di Jalan Air Putih 2 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, panggilan diterima kira-kira pukul 4.32 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, polis menemukan seorang pelajar wanita berusia 19 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik sewa di aras bawah rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati kesan tekanan pada bahagian leher  sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.