KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menyemak cadangan penambahbaikan layanan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan jagaan warga emas yang dikawal selia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut MoF, penambahbaikan itu akan mengambil kira jenis dan ciri perkhidmatan yang disediakan, termasuk perkhidmatan jagaan asas serta perkhidmatan bersifat premium, supaya layanan cukai dapat dilaksanakan secara lebih bersasar.
Katanya, perkhidmatan jagaan warga emas ketika ini tertakluk kepada SST bawah Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018, dengan nilai ambang pendaftaran sebanyak RM500,000 yang berkuat kuasa 1 September 2018.






