KUALA LUMPUR: Status bankrqp atau muflis bukan pengakhiran kepada kelangsungan hidup atau punca rezeki mana-mana individu yang berdepan masalah kewangan termasuk penggiat seni dan kru produksi.

Pengarah Bahagian Kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Fajrul Shihar Abu Samah berkata, undang-undang kebankrapan tidak menghalang individu bankrap daripada menerima tawaran kerja atau memeterai kontrak pekerjaan yang sah.

Bagaimanapun, individu terbabit bertanggungjawab di sisi undang-undang untuk hadir ke cawangan MdI berdekatan bagi mengisytiharkan penyata pendapatan setiap enam bulan kepada Ketua Pengarah Insolvensi.

"Pemakluman perolehan itu amat kritikal bagi memastikan kadar sumbangan bulanan ke dalam estet kebankrapan dapat diselaraskan secara munasabah mengikut kemampuan kewangan semasa, sekali gus membantu melunaskan baki tuntutan pemiutang dengan lebih teratur," katanya pada Forum Seni, Populariti dan Survival Kewangan: Memperkasa Industri Kreatif Melalui Dasar Peluang Kedua di sini, baru-baru ini.