LONDON: Liverpool dilaporkan sudah menghubungi ejen Kylian Mbappe mengenai kemungkinan membawa penyerang Real Madrid itu ke Anfield pada musim 2027.
Menurut wartawan Sepanyol, Francois Gallardo, Liverpool sudah mengadakan perbincangan dengan ibu dan ejen Mbappe, Fayza Lamari dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Mbappe menyertai Real Madrid secara percuma pada musim panas 2024 selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).
Penyerang Perancis itu kini sudah meledak 94 gol selain menghasilkan 14 bantuan gol dalam 111 penampilan bersama gergasi Sepanyol berkenaan dalam semua pertandingan.
Bagaimanapun, walaupun memiliki rekod jaringan yang mengagumkan, Mbappe masih belum membantu Real Madrid menjuarai LaLiga atau Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh dua musim terakhir.






