PRYLUKY: Sekurang-kurangnya 28 orang, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh dalam serangan Russia di beberapa kawasan di Ukraine semalam.

Lima kanak-kanak itu terbunuh selepas sebuah peluru berpandu memusnahkan blok pangsapuri di Pryluky, wilayah Chernihiv, ketika mereka sedang tidur.

Letupan kuat akibat serangan menyebabkan cermin tingkap pecah dan separuh daripada bangunan lima tingkat itu musnah, dengan runtuhan konkrit serta besi berselerak.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata tiga daripada kanak-kanak yang terbunuh baru berusia 12 bulan, manakala seorang lagi berusia lapan tahun.

Kementerian Dalam Negeri berkata, mayat seorang lagi kanak-kanak ditemukan di bawah runtuhan pada petang semalam.