"SAYA amat berharap agensi kerajaan terbabit dalam pemerkasaan usahawan dapat melihat sendiri realiti dan kesusahan mereka hadapi. Jangan hanya melihat angka dan permohonan di atas kertas. Ada usahawan benar-benar bergelut hutang, pinjaman bank dan kelangsungan perniagaan. Mereka bukan sekadar memerlukan bantuan, tetapi peluang dan sedikit ruang untuk bangkit semula."

Begitulah bisikan hati seorang usahawan komuniti India kepada penulis, baru-baru ini.

Katanya, usahawan kecil seperti mereka sangat mengharapkan bantuan dan pembiayaan daripada agensi kerajaan sedia ada, tetapi.... "Nak pergi mohon pinjaman bank lagilah kami tak mampu. Hutang sedia ada pun belum selesai, perniagaan pula masih bergelut. Kalau keadaan begini berterusan, bagaimana kami nak berkembang? Kami bukan tak mahu maju, tetapi peluang dan ruang untuk bangkit itu pun semakin sempit," tambahnya lagi.