KUALA LUMPUR: Isu kegagalan pegawai perubatan melapor diri untuk bertugas di Sabah dan Sarawak serta status penggubalan rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 menjadi antara topik utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal rasmi Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah sebenar pegawai perubatan yang gagal melapor diri sebaik tempoh penempatan berakhir hari ini, di samping punca dan langkah mengatasinya.

Turut dibangkitkan dalam sesi itu ialah persoalan Awang Hashim (PN-Pendang) kepada Menteri Kewangan mengenai penetapan sempadan bidang kuasa antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan agensi kawal selia lain bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan penguatkuasaan.