KUALA LUMPUR: Lelaki warga Myanmar ditahan semalam, kurang 12 jam selepas disyaki menikam mati rakan senegaranya di sekitar Maluri, Cheras, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata mangsa berusia 20-an, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada jam 10 pagi semalam akibat kecederaan parah di perut.
Suspek ditahan di sebuah premis di sekitar Taman Maluri kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
"Suspek adalah lelaki warga Myanmar berusia awal 30-an, tidak bekerja dan tiada rekod jenayah lampau.
"Suspek ditahan bersama rampasan sebilah gunting yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.








