KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan cadangan melarang parti politik daripada menerima sebarang dana dari luar negara, termasuk disalurkan menerusi pihak ketiga di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, skop larangan tersebut merangkumi peringkat Persekutuan serta negeri dan terpakai sepanjang kitaran politik sebelum, semasa mahupun selepas pilihan raya.

“(Ia adalah) bagi memastikan sumber dan penggunaan dana politik dapat dipantau secara berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

Azalina menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang bertanyakan mekanisme untuk mencegah dana luar negara daripada disalurkan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak ketiga bagi membiayai kempen atau aktiviti politik yang memberi manfaat kepada parti atau calon tertentu, serta sama ada RUU itu akan mewajibkan pendedahan sumber dana dan perbelanjaan.