KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan cadangan melarang parti politik daripada menerima sebarang dana dari luar negara, termasuk disalurkan menerusi pihak ketiga di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata skop larangan berkenaan dicadangkan supaya merangkumi peringkat Persekutuan serta negeri dan terpakai sepanjang kitaran politik sebelum, semasa mahupun selepas pilihan raya.
"(Ia adalah) bagi memastikan sumber dan penggunaan dana politik dapat dipantau secara berkesan," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.
Beliau berkata, RUU itu juga dicadangkan untuk mewajibkan dana politik diterima dan digunakan melalui saluran rasmi yang boleh direkodkan, dikesan dan diaudit.








