Kuala Lumpur: Perancangan Terengganu FC (TFC) untuk memperkuat pasukan pada jendela perpindahan Januari depan mungkin berdepan masalah selepas kelab itu dikenakan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sekatan yang berkuat kuasa sejak 14 Oktober lalu itu dikesan menerusi semakan di pangkalan data rasmi FIFA, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai langkah perlu diambil pengurusan kelab Pantai Timur itu bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Situasi itu perlu diberi perhatian memandangkan jendela perpindahan Januari 2027 bakal membuka peluang kepada kelab untuk memperkemas skuad masing-masing bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Sekiranya sekatan berkenaan masih berkuat kuasa, hasrat TFC untuk mendaftarkan pemain baharu boleh terjejas, sekali gus berpotensi mempengaruhi perancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.