Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini mengarahkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menarik balik perkataan 'munafik' yang digunakannya ketika perbahasan sebelum ini.

Katanya, beliau telah meneliti hansard sebelum memutuskan bahawa Takiyuddin perlu menarik balik perkataan berkenaan, sama ada di dalam Dewan Rakyat atau melalui penjelasan bertulis kepada Yang Dipertua.

"Walaupun kedua-dua (RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Takiyuddin) tiada dalam dewan hari ini, saya minta Kota Bharu tarik balik perkataan yang diungkapkan, saya beri tarikh hingga esok," katanya.

Beliau berkata Rayer boleh meneruskan usul sekiranya Takiyuddin gagal mematuhi arahan tersebut.