PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menarik balik perkataan ‘munafik’ yang diucapkannya sebelum ini.
Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat, sebelum menetapkan Takiyuddin perlu menarik balik kenyataan berkenaan sama ada di dalam Dewan Rakyat atau menerusi surat bertulis.
“Saya telah membaca Hansard dan ini adalah keputusan saya. Saya minta Kota Bharu menarik balik perkataan yang diucapkannya itu esok,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, RSN Rayer (PH-Jelutong) boleh meneruskan cadangan mengemukakan usul sekiranya Takiyuddin gagal mematuhi arahan berkenaan.










