Washington: Calon Parti Demokrat bagi kerusi Majlis Daerah Fayette di Indiana, Jaime West, mengakui minum tiga bir sebelum temu bual televisyen yang tular selepas percakapannya kedengaran tidak jelas, namun menegaskan dirinya 'tidak terlalu mabuk', lapor Metro UK,

West mengulas rakaman video itu ketika muncul dalam rancangan 'Piers Morgan Uncensored' pada Isnin, selepas percakapannya mencetuskan spekulasi bahawa dia mengambil minuman beralkohol sebelum temu bual berkenaan.

Difahamkan, ketika temu bual itu, West berikrar, akan memecat 'semua anggota Republikan' jika dipilih, sambil menambah bahawa dirinya 'memang tidak sukakan mereka'.

Dia turut mengkritik gerakan MAGA (Make America Great Again), slogan politik yang dikaitkan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sambil berkata "Kami juga mempunyai senjata api."