Kuala Lumpur: Penyelarasan struktur gaji perlu dilaksanakan seiring kenaikan gaji minimum bagi memastikan pekerja berpengalaman turut menerima kenaikan setimpal dengan tempoh perkhidmatan, kemahiran dan sumbangan mereka kepada majikan.

Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Dr Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata, kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 perlu disokong struktur penggajian lebih progresif supaya tidak mewujudkan jurang terlalu kecil antara gaji pekerja baharu dengan pekerja senior yang sudah lama berkhidmat.

Katanya, kegagalan menyelaraskan gaji pekerja berpengalaman ketika gaji permulaan meningkat boleh menyebabkan mereka berasa tidak dihargai, sekali gus menjejaskan emosi dan motivasi untuk bekerja.