KUALA LUMPUR: Pertumbuhan gaji susulan Belanjawan 2027 perlu disokong peningkatan produktiviti, pelaburan perniagaan dan penggunaan teknologi bagi memastikan daya saing negara terus terpelihara serta lebih banyak pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan.

CIMB Treasury and Markets Research berkata, selain kenaikan gaji yang diwajibkan, semakan menyeluruh terhadap struktur gaji serta penyediaan imbuhan dan peluang kerjaya yang kompetitif penting untuk menarik serta mengekalkan tenaga kerja berkemahiran.

Langkah itu semakin penting ketika perniagaan beralih kepada aktiviti bernilai tambah tinggi.

"Pertumbuhan gaji yang berterusan bagaimanapun bergantung pada peningkatan produktiviti menerusi pelaburan dalam kemahiran, peralatan dan proses perniagaan," menurut CIMB dalam nota penyelidikannya hari ini.