Apabila kita membaca berita tentang pergaduhan, buli, kecederaan serius sehingga kehilangan nyawa yang melibatkan pelajar sekolah, hati pasti tertanya-tanya: apakah yang sedang berlaku kepada anak-anak kita? Lebih mudah untuk menuding jari. Ibu bapa menyalahkan sekolah, sekolah dipersalahkan masyarakat, masyarakat menyalahkan media sosial dan teknologi, manakala sistem pendidikan pula menjadi sasaran. Namun, jika benar kita mahu mencari penyelesaian, soalan yang lebih penting bukan sekadar "salah siapa?", tetapi "apakah tanggungjawab kita yang telah terabai?"

Beberapa insiden keganasan membabitkan murid yang dilaporkan kebelakangan ini wajar menjadi loceng amaran. Dalam kes yang masih disiasat pihak berkuasa, masyarakat wajib mengelakkan spekulasi dan menghormati proses undang-undang. Namun, tanpa mendahului siasatan, kita tetap perlu bermuhasabah: sekolah sepatutnya menjadi tempat menuntut ilmu dan membina manusia, bukan ruang yang ditakuti dan dibimbangi oleh anak-anak dan ibubapa.