Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 190 warga asing dan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Pudu, di sini awal pagi tadi susulan aduan orang ramai tentang gangguan ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JIM Datuk Basri Othman berkata warga asing yang ditahan terdiri daripada 99 lelaki dan 91 wanita berumur antara 20 hingga 41 tahun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 188 orang ialah warga Indonesia, manakala masing-masing seorang warga Bangladesh dan India.

Dua lelaki tempatan yang ditahan dipercayai majikan dan penjaga premis hiburan berkenaan yang terletak kira-kira 10 meter dari sebuah masjid.