TONTONAN filem ini dihabiskan selepas beberapa percubaan. Bukan kerana tidak bagus tetapi atas beberapa sebab. Pertama, karya ini datang daripada kerangka minda twisted pengarah sensasi Indonesia, Joko Anwar.

Joko merupakan seorang sutradara yang kadangkala suka menyelitkan easter egg (mesej tersirat) dalam pekerjaannya. Bagaimanapun, dalam Ghost in the Cell, hampir kesemuanya dibentangkan dengan nyata.

Dari urusan ‘gore’, kritikan sosial, kepada jalan cerita dan terjemahan karakter, karya ini tidak membuat kepala penonton migrain. Senang cerita bagi penulis secara peribadi, ini barangkali antara naskhah Joko yang paling ‘gampang’ (dibaca: senang) dihadam.

Meletakkan secara harafiah, premis entiti ganas yang menyerang penghuni sebuah fasiliti atau penjara korup sebagai fokal cerita, tiada apa yang membanggakan pun hendak digembar-gemburkan daripada Ghost in the Cell.