Georgetown: Kerajaan sedang merangka pindaan undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pencuri kabel, susulan kejadian berulang yang mengganggu operasi dan mengancam keselamatan sistem rel negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, cadangan itu kini pada peringkat perbincangan dasar, dengan kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merangka pindaan berkenaan.
"Memang dalam perancangan. Kita sedang merangka pindaan undang-undang dan bekerjasama dengan pihak KDN juga untuk meminda undang-undang bagi memperketat hukuman.
"Dari segi hukuman penjara, butirannya belum kita muktamadkan. Sekarang ini masih dalam perbincangan dasar untuk kita meningkatkan hukuman penjara dan denda," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bas Elektrik Rapid Penang di sini, hari ini.








