PETALING JAYA – Sebanyak 10 aduan berkaitan petrol RON95 disyaki tercemar air diterima sejak 29 September lalu membabitkan tujuh stesen minyak jenama antarabangsa di Selangor.
Aduan terbabit melibatkan pengguna yang mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah enjin selepas mengisi petrol, termasuk tersengguk-sengguk, kehilangan kuasa, gagal dihidupkan dan injap enjin terbakar.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, susulan aduan tersebut, pihaknya menjalankan pemeriksaan di tujuh premis terbabit semalam.
Beliau berkata, sebanyak 27 tin sampel petrol RON95 diambil daripada pam pengisian yang terjejas untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis makmal.










