KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak akan menghalang pemain negara beraksi dalam Liga Thailand sekiranya peluang itu mampu meningkatkan kemahiran, pengalaman dan prestasi mereka di pentas antarabangsa.

Presidennya, Datuk Sumali Reduan berkata, pihaknya terbuka terhadap hasrat berkenaan, namun sebarang penyertaan perlu dinilai secara strategik bagi memastikan tidak mengganggu persiapan skuad kebangsaan.

Jelasnya, setakat ini PSM belum menerima sebarang maklumat atau permohonan rasmi berhubung kemungkinan pemain negara bermain di liga berkenaan.

"Hasrat kita adalah untuk memastikan pemain mendapat sebanyak mungkin peluang beraksi, sama ada di dalam mahupun luar negara. Sekiranya liga di luar negara menjadi platform yang baik untuk meningkatkan kemahiran, pengalaman dan prestasi pemain, saya tidak melihat sebarang masalah," katanya.