Sungai Petani: Status sebagai pasukan yang dibarisi anak-anak flat bukan alasan untuk KS Taman Free School merendah diri, sebaliknya mereka membuktikan kekurangan kemudahan bukan penghalang untuk mencabar pasukan lebih ternama pada saingan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Utara yang berlangsung Arena of Sport, di sini.
Berbekalkan semangat juang dan kesungguhan pemain, pasukan itu mencuri perhatian apabila mampu memberi tentangan sengit kepada lawan sebelum perjalanan mereka terhenti selepas tewas kepada Young Turtles B, 6-15, 15-8, 10-15 di peringkat 16 pasukan terbaik.
Walaupun terpaksa akur dengan kekalahan itu, pencapaian KS Taman Free School tetap membanggakan apabila mereka mampu memberi saingan dalam kejohanan yang menjadi medan menguji kemampuan pemain muda, termasuk berdepan pasukan yang memiliki kelebihan dari segi pendedahan dan persiapan.










