Kuala Lumpur: Malaysia Airlines (MAS) akan menyambung semula penerbangan berjadual dari dan ke Jeddah serta Madinah bermula esok.

Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan penilaian risiko operasi serta semakan keselamatan secara menyeluruh berikutan penggantungan sementara perkhidmatan akibat kebimbangan keselamatan di Arab Saudi.

"Penumpang yang berlepas dari dan ke kedua-dua destinasi berkenaan bermula 18 Oktober ini dinasihatkan membuat semakan jadual penerbangan serta memastikan maklumat perhubungan mereka dikemas kini menerusi bahagian 'My Booking' di laman web atau aplikasi mudah alih.

"Bagi penumpang yang membuat tempahan menerusi platform pihak ketiga atau ejen pelancongan, mereka perlu menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing secara terus untuk mengesahkan urusan perjalanan," menurut kenyataan itu.