JOHOR BARU: Malaysia Airlines menjadual semula penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini, ke Jeddah yang dijadualkan esok berikutan peningkatan kebimbangan keselamatan yang menjejaskan perjalanan udara di Arab Saudi.

Menerusi notis yang tular di media sosial, syarikat penerbangan itu memaklumkan penerbangan MH154 dari Senai ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz yang sepatutnya berlepas jam 2.50 petang esok dijadualkan semula.

Syarikat penerbangan berkenaan menyatakan pengaturan perjalanan alternatif bagi pembatalan operasi standard akan disediakan dalam tempoh tiga jam, manakala pilihan bagi keadaan luar biasa akan dimaklumkan sebaik sahaja disahkan.

Semua penumpang dinasihatkan supaya tidak hadir ke lapangan terbang sehingga menerima pengesahan mengenai pengaturan penerbangan baharu mereka.