ISTANBUL: Iran menawarkan bantuan untuk memudah cara rundingan antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi di Yaman tatkala ketegangan serantau semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita rasmi Iran, IRNA, semalam.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, membuat tawaran itu dalam perbualan telefon dengan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan.

Araghchi menyuarakan kebimbangan akan ketegangan yang semakin meningkat, sambil memberi amaran bahawa kebergantungan berterusan pada tindakan ketenteraan tanpa mempedulikan penyelesaian politik hanya akan merumitkan lagi keadaan.

Beliau menegaskan 'tiada penyelesaian ketenteraan' bagi krisis yang sedang melanda rantau itu.