KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) mengambil pendekatan holistik untuk memberi peluang kepada masyarakat merasai sendiri aplikasi sains dan teknologi sukan menerusi Hari Terbuka ISN yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Meskipun Hari Sukan Negara ditangguhkan sementara akibat jerebu, penganjuran sulung oleh ISN itu tetap mendapat sambutan meriah menerusi pelbagai aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka aplikasi sains dan teknologi sukan, termasuk aspek kecergasan, analisis kekuatan, pemulihan serta peningkatan prestasi atlet.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr P Vellapandian berkata, Hari Terbuka ISN adalah salah satu pendekatan untuk membawa kepakaran dan peranan ISN lebih dekat kepada masyarakat, di samping meningkatkan kesedaran bahawa pencapaian sukan bukan hanya bergantung pada bakat dan latihan, tetapi turut disokong oleh ilmu, penyelidikan, perubatan serta teknologi.