KUALA LUMPUR: Kumpulan popular Indonesia, Nidji berharap muzik terus menjadi medium penyatuan rakyat Malaysia dan Indonesia, sekaligus merapatkan hubungan dua negara serumpun.

Vokalisnya, Yusuf Ubay, berkata pemuzik mempunyai peranan penting dalam menyampaikan mesej positif bagi memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara, meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat.

"Jangan sampai apa-apa perbezaan memecahbelahkan dan memisahkan kita. Harapan Nidji adalah muzik dapat menyatukan kita semua, sama ada dari Indonesia, Malaysia atau mana-mana negara.

"Kita boleh bersatu menerusi sesuatu yang dapat dinikmati bersama. Janganlah ada perpecahan atau perbezaan yang memisahkan kita. Sebagai pemuzik, satu-satunya cara untuk menyatukan semua orang adalah melalui muzik itu sendiri," katanya pada sidang media Nu Fest 2027 di sini, hari ini.