Johor Bahru: Kerajaan Johor akan melaksanakan solat hajat di semua masjid dan surau di seluruh negeri bermula hari ini sehingga keadaan jerebu kembali pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan keadaan jerebu yang teruk dan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Beliau berkata, solat hajat itu akan dilaksanakan selepas solat Maghrib sebagai usaha memohon pertolongan dan perlindungan Allah SWT supaya keadaan jerebu beransur pulih, kualiti udara kembali baik serta kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

"Seluruh umat Islam di Johor diseru untuk bersama-sama menyertai solat hajat serta memperbanyakkan doa dan munajat agar keadaan jerebu dapat diatasi, segala urusan dipermudahkan dan seluruh rakyat sentiasa berada dalam rahmat serta perlindungan Allah SWT," katanya dalam kenyataan hari ini.