KUALA LUMPUR: Stok keseluruhan minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 691,835 tan atau 24.54 peratus kepada 3.51 juta tan pada September tahun ini berbanding 2.8 juta tan pada bulan sebelumnya, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB memaklumkan, stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat 31.88 peratus atau 522,905 tan kepada 2.16 juta tan pada September berbanding 1.64 juta tan pada Ogos.

"Stok minyak sawit diproses meningkat 14.33 peratus atau 168,930 tan kepada 1.34 juta tan daripada 1.17 juta tan pada Ogos," menurut MPOB dalam laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi September 2026.

Dari segi pengeluaran, MPOB memaklumkan pengeluaran MSM meningkat 16.48 peratus atau 299,451 tan kepada 2.11 juta tan pada September berbanding 1.81 juta tan pada bulan sebelumnya.