KUALA LUMPUR: EP Manufacturing Bhd (EPMB) memeterai usaha sama (JV) dengan Hebei Shichang Auto Parts Co Ltd, syarikat sistem bahan api yang disenaraikan di Beijing, untuk menubuhkan kilang pembuatan bernilai RM100 juta yang menumpukan kepada pengeluaran tangki bahan api termaju untuk Proton.

Dalam satu kenyataan hari ini, EPMB memaklumkan usaha sama itu akan menyokong inisiatif pengembangan Proton dan menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan komponen yang mempunyai kandungan lokaliti yang tinggi di Malaysia, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk menjadi hab serantau terkemuka bagi pengeluaran dan eksport automotif.

Berikutan pemeteraian perjanjian itu, EP Shichang Automotive Systems Sdn Bhd akan ditubuhkan untuk melaksanakan usaha sama berkenaan dengan EPMB memiliki 51 peratus kepentingan, manakala Hebei Shichang sebanyak 49 peratus.