KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan wakil penyedia perkhidmatan kewangan menegaskan kesediaan untuk memberikan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan tragedi banjir kilat serta tanah runtuh di Nepal.

Mereka bersedia membantu, tertakluk kepada undang-undang dan keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.

BNM dalam kenyataan berkata, dalam pertemuan dengan wakil Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam serta ahli keluarga lain, pihaknya bersetuju supaya penyedia perkhidmatan kewangan melantik pegawai perhubungan khusus untuk menghubungi keluarga masing-masing.

"Pegawai berkenaan akan membantu waris memahami dan menguruskan proses pentadbiran yang diperlukan bagi menyelesaikan urusan kewangan membabitkan mangsa," katanya.