​KUALA LUMPUR: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI Malaysia) menggesa tindakan segera, tegas dan menyeluruh dilaksanakan bagi menangani ancaman jerebu rentas sempadan yang kembali menjejaskan kualiti udara di negara ini.

Pemangku Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata isu jerebu bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya membabitkan kesihatan awam, kesejahteraan rakyat dan tanggungjawab bersama negara serantau.

Beliau berkata, masalah yang berulang itu memerlukan penyelesaian menyeluruh dan bukannya sekadar tindakan kecemasan apabila keadaan semakin memburuk.

​Katanya, ISWAMI Malaysia turut menggariskan lima keutamaan merangkumi perlindungan kesihatan rakyat menerusi pemantauan kualiti udara, penyampaian maklumat tepat dan nasihat kesihatan khusus bagi golongan berisiko, selain menyarankan orang ramai merujuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta arahan pihak berkuasa.