Kuala Lumpur: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tekad membantu seorang remaja lelaki yang cemerlang dalam akademik selepas mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Ia susulan tular di media sosial video pemuda berkenaan ketika ditemubual seorang wanita dipercayai pempengaruh dan pencipta kandungan.

Dalam video berkenaan, pemuda berusia 19 tahun itu mendedahkan dirinya bekerja kerana desakan untuk mendapatkan wang dan mahu menyambung pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), namun terpaksa menangguhkan hasratnya kerana keluarga kurang berkemampuan.

Menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya, Asyraf Wajdi meminta orang ramai yang menyalurkan maklumat pemuda berkenaan dengan segera bagi membolehkannya memberi bantuan yang sewajarnya.