KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh MN Holdings Bhd, MN Power Transmission Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM293.88 juta membabitkan pembinaan dua stesen pendaratan pengguna (CLS) 275 kilovolt (kV) bagi pembangunan pusat data yang terletak di wilayah tengah Semenanjung Malaysia.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pakar penyelesaian pembinaan dan kejuruteraan utiliti infrastruktur itu berkata ia akan melaksanakan kontrak pembinaan, pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan kemudahan CLS termasuk kerja-kerja bangunan utama serta luaran yang berkaitan.
"Kerja pembinaan bermula pada September 2026, dan dijangka selesai menjelang Ogos 2027," katanya.
Pengarah Eksekutif MN Holdings, Datuk Dang Siong Diang, berkata projek itu menunjukkan permintaan yang berterusan untuk infrastruktur kuasa voltan tinggi dalam menyokong pembangunan pusat data berskala besar.








