KUALA LUMPUR: Batik Air membatalkan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah, Arab Saudi hari ini sebagai langkah berjaga-jaga susulan konflik yang sedang berlaku.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas menilai situasi semasa yang sentiasa berubah, dengan keselamatan serta kesejahteraan penumpang dan kru kekal sebagai keutamaan tertinggi.

"Penerbangan yang terjejas, OD701, dijadual berlepas dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah pada jam 7.25 malam.

"Penumpang yang terjejas telah ditempatkan semula ke penerbangan seterusnya dan akan dimaklumkan menerusi butiran hubungan yang diberi," menurut kenyataan itu.