KUALA LUMPUR - Batik Air telah membatalkan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah, Arab Saudi pada Isnin sebagai langkah berjaga-jaga susulan konflik yang sedang berlaku.Dalam satu kenyataan pada Isnin, syarikat penerbangan itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas menilai situasi semasa yang sentiasa berubah, dengan keselamatan serta kesejahteraan penumpang dan kru kekal sebagai keutamaan tertinggi."Penerbangan yang terjejas, OD701, dijadual berlepas dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah pada jam jam 7.25 malam."Penumpang yang terjejas telah ditempatkan semula ke penerbangan seterusnya dan akan dimaklumkan menerusi butiran hubungan yang diberi," menurut kenyataan itu.Syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa ia sedang memantau perkembangan situasi dengan teliti serta menyelaras dengan pihak berkuasa penerbangan, pengendali lapangan terbang dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan bagi menilai potensi kesan terhadap operasi penerbangan.Penumpang juga dinasihatkan untuk menyemak laman web rasmi dan saluran media sosial Batik Air bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penerbangan.Bernama pada Isnin melaporkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah susulan kebimbangan keselamatan ekoran serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh. - Bernama