KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd, IJM Construction Sdn Bhd, menerima surat lantikan daripada AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd bagi kontrak reka bentuk dan pembinaan bernilai kira-kira RM1.23 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IJM Corporation memaklumkan kontrak itu merangkumi pembinaan kemudahan pengeluaran empat tingkat, bangunan utiliti pusat tiga tingkat dan kemudahan rawatan air sisa setingkat di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.

"Projek itu dijadualkan bermula pada suku keempat 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 14 bulan dari tarikh permulaan," menurut syarikat itu.

IJM Corporation memaklumkan, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 2027.