Kuala Lumpur: Penetapan gaji minimum RM2,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 telah dipersetujui oleh Majlis Perundingan Gaji Negara, yang turut dianggotai wakil pekerja dan majikan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata, di peringkat jemaah menteri pula pertimbangan diberikan supaya tempoh masa yang lebih panjang diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar tidak membebankan mereka.

"Jumlah gaji minimum itu tidak dipertikaikan dan telah dipersetujui. Kita akan mulakan dengan syarikat besar dulu sebab kita memahami bahawa syarikat PMKS juga antara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat, yang mungkin memerlukan lebih masa untuk membuat penyesuaian model perniagaan," katanya.