Kota Kinabalu: Polis tahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, pada Jumaat lalu.

Kejadian berkenaan turut tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 23 saat yang memaparkan mangsa dipukul dan ditendang oleh sekumpulan lelaki, termasuk menggunakan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, seorang suspek ditahan semalam, manakala enam lagi ditahan dalam operasi pada hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan hasil kerjasama erat antara Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.