KUALA LUMPUR: Penetapan kadar gaji minimum RM2,000 sebulan dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara yang dianggotai wakil kesatuan pekerja dan majikan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, kadar berkenaan telah dipersetujui di peringkat majlis itu, manakala pertimbangan di peringkat Jemaah Menteri diberikan untuk membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat tempoh penyesuaian lebih panjang.
"Di peringkat majlis itu, terdapat wakil bukan sahaja daripada kesatuan pekerja, tetapi juga daripada majikan. Tahap RM2,000 itu tidak dipertikaikan dan telah dipersetujui.
"Hanya dalam pertimbangan di peringkat Jemaah Menteri, pertimbangan telah diberikan untuk memberi tempoh masa yang lebih panjang sedikit untuk PMKS supaya mereka mungkin akan laksanakan kemudian.










