Putrajaya: Siasatan berhubung isu seorang individu beragama Islam terbabit dalam ritual keagamaan bukan Islam diserahkan kepada pihak berkuasa agama, termasuk pihak berkuasa agama negeri untuk tindakan lanjut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan.

Beliau berkata, pihak berkenaan akan memaklumkan perkembangan siasatan selepas mendapatkan maklumat lengkap berhubung perkara itu.

"Sekarang ini, kami menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa agama dan insya-Allah pihak berkuasa ini akan memaklumkan perkembangan (siasatan) itu," katanya selepas menghadiri Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Majlis anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu dimulakan dengan ucapan aluan oleh Zulkifli, sebelum disusuli syarahan muqaddimah kitab tafsir surah Yusuf karya Imam al-Ghazali oleh ulama serta sarjana Islam dari Turkiye Syeikh Prof Dr Muhammad Fadhil al-Jilani al-Hasani.