KENINGAU - Seorang pesara kerajaan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM73,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengemukakan dokumen tuntutan mengandungi butiran matan palsu berhubung pembekalan makanan dan minuman sempena Sukan SAGA IX Keningau, tujuh tahun lalu.Tertuduh, Jaffar Matamin, 62, didapati bersalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.Menurut pertuduhan, Jaffar yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penerangan Daerah Keningau telah mengemukakan dokumen tuntutan bagi pembekalan makanan dan minuman kepada petugas media di Pusat Media Kompleks Sukan Keningau pada 18 Februari 2020.Tuntutan berkenaan adalah bagi pembekalan makanan dan minuman sepanjang penganjuran Sukan SAGA IX Keningau 2019 yang berlangsung dari 5 hingga 13 Disember 2019.Bagaimanapun, dokumen tuntutan bernilai RM14,720 bagi pembekalan sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang itu mengandungi butiran matan palsu apabila makanan dan minuman berkenaan sebenarnya tidak dibekalkan sepenuhnya.Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Nur Ashikin Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan berkuat kuasa dari tarikh sabitan pada 9 Oktober lalu.Tertuduh turut dikenakan denda RM73,600 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam daripada firma M.S Shah & Associates.