GUA MUSANG – Seorang buruh ladang sawit warga Indonesia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki peluru dan senapang buatan sendiri tanpa lesen pada bulan lalu.

Tertuduh, Ismail, 58, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki 14 butir peluru 12 bore tanpa kebenaran yang sah di depan sebuah rumah di Kampung Jerek Baru, Gua Musang, kira-kira pukul 9 malam pada 9 September 2026.

Bagi pertuduhan kedua, Ismail dituduh memiliki selaras senapang tiruan di rumah sama kira-kira pukul 1.30 pagi pada 10 September 2026 dan didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.