BERA: Seorang lelaki cedera dipercayai ditumbuk individu tidak dikenali ketika operasi penguatkuasaan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasik Bera, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari di Kampung Lubuk Tambangan itu ketika sekumpulan masyarakat Orang Asli berkumpul dan didakwa cuba menghalang penguat kuasa menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata sepasukan penguat kuasa diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika operasi berlangsung, sekumpulan masyarakat Orang Asli melakukan provokasi dan cuba menghalang tindakan penguatkuasaan yang sedang dijalankan.

"Dalam kejadian itu, seorang orang awam cedera selepas dipercayai ditumbuk individu tidak dikenali. Anggota penguat kuasa UPNP yang menjalankan operasi turut menerima ugutan supaya tidak meneruskan tindakan penguatkuasaan di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan.