KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan jaminan bahawa proses penggubalan kerangka undang-undang baharu pendidikan tinggi bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), dilaksanakan secara inklusif tanpa membezakan kecenderungan politik kumpulan mahasiswa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementeriannya komited melibatkan semua pihak dalam sesi libat urus, merangkumi pelbagai persatuan pelajar, akademik mahupun kepimpinan rentas parti politik.

Beliau berkata, KPT turut mengadakan sesi pertemuan khusus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) bagi mendengar serta menyelaraskan pelbagai syor cadangan.