SHAH ALAM – Perjanjian Kerjasama (CSA) antara kerajaan negeri dan 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) disasarkan dimeterai sebelum pembentangan Belanjawan negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rundingan berhubung terma perjanjian itu masih berjalan antara kerajaan negeri dengan wakil Bersatu Selangor.
Katanya, rundingan berkenaan berjalan lancar tanpa permintaan luar biasa daripada kedua-dua pihak dan persetujuan akan diumumkan sebaik sahaja semua terma dimuktamadkan.
“Dalam perbincangan ada tolak tarik, runding, itu perkara biasa. Cuma perbincangannya belum berakhir lagi.
“Setakat yang saya faham, mereka (Bersatu Selangor) ada 11 ADUN. 12 mungkin termasuk ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. Kalau kesemuanya terlibat, alhamudulillah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Madani – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di sini, hari ini.










