SHAH ALAM: Pemeteraian perjanjian kerjasama (CSA) antara kerajaan negeri dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor disasar sebelum pembentangan belanjawan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga kini rundingan masih berjalan melibatkan terma-terma perjanjian yang akan dimuktamadkan antara pembangkang dengan kerajaan negeri.
Katanya, bagaimanapun tiada permintaan yang luar biasa antara kedua-dua pihak sepanjang rundingan berjalan dan akan dimaklumkan apabila semua bersedia menandatangani persetujuan.
“Dalam perbincangan ada tolak tarik, runding, itu perkara biasa. Cuma perbincangannya belum berakhir lagi.
“Setakat yang saya faham, mereka (Bersatu Selangor) ada 11 ADUN. 12 mungkin termasuk ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. Kalau kesemuanya terlibat, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Madani – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di sini, hari ini.










