BERA: Pesara jurutera kerugian RM660,000 selepas terpedaya skim pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.
Lelaki berusia 56 tahun itu bukan sahaja gagal memperoleh keuntungan 10 peratus seperti dijanjikan, malah wang simpanannya lesap selepas melakukan tujuh transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Beliau berkata, mangsa yang juga bekas jurutera sebuah syarikat swasta mula tertarik dengan pelaburan berkenaan selepas melihat iklan syarikat di Facebook pada 5 Februari lalu.








